Thursday, September 29, 2011

Seks & Kewangan : Ujian Normal Perkahwinan



:: Kali ini saya ingin berkongsi beberapa cabaran alam pernikahan yang dilalui oleh seorang teman bergelar isteri, yang mana pernikahannya belum pun mencecah setahun.

Namun sebenarnya bukan beliau seorang sahaja menghadapi cabaran tersebut - konflik isu kewangan dan hubungan seksual- melainkan perkara ini turut dikongsi oleh kebanyakan para isteri [ dan suami] yang masih baru hidup bersama dan berumahtangga.

Jadi para isteri di luar sana, jangan gusar sangat ya.. Bukan kalian seorang yang menghadapi isu kewangan dan isu seksual yang sangat sensitif ni..

Isteri tersebut meminta pandangan dan nasihat dari suami saya (yang juga Kolumnis Majalah Pengantin) untuk membantunya menyelamatkan rumahtangga, dan di sini saya sertakan musykilahnya dan jawapan suami saya kepada permasalahannya. Moga menjadi panduan bersama ::


CABARAN KEWANGAN & KEMESRAAN


Sebenarnya saya ingin meminta nasihat dan pandangan daripada ustaz tentang masalah rumahtangga yang saya hadapi. Saya baru sahaja berkahwin selama 7 bulan dan sekarang mengandung 6 bulan. Dalam tempoh yang singkat ini, saya telah merasai cabaran berumahtangga dan sering berendam air mata.


Masalah saya :-


1- Suami sering merungut apabila hendak membeli barangan keperluan asasi seperti barang dapur dan lain-lain walaupun sebahagian barangan elektrik dalam rumah seperti peti ais dan mesin basuh adalah dibeli oleh saya.

2- Suami berubah karakter selepas berkahwin. Semasa bertunang dia tidak kisah untuk menelefon saya setiap malam tetapi setelah berkahwin dia bagaikan terpaksa menelefon saya (itupun kerana telah membuat perjanjian sebelum kahwin untuk menelefon setiap malam kerana kami tinggal berjauhan dan dia hanya pulang seminggu sekali).

3- Enggan berbual dengan saya kerana dia mengatakan saya hanya berbual topik yang sama setiap hari dan membosankan. Apa topik perbualan yang berlainan saya pun tidak faham. Sedangkan saya berbual tentang isu semasa.

4- Enggan mengadakan hubungan intim. Mungkin dia terasa jijik dengan kulit saya kerana dia pernah menegur kulit saya bersisik. Jika ingin pun dia akan menunaikan hajat tanpa pemanasan terlebih dahulu.

Apa yang perlu saya lakukan untuk menyelamatkan rumahtangga saya? Saya harap ustaz dapat memberi penyelesaian terhadap setiap masalah yang saya senaraikan tersebut.

Segala budi baik ustaz saya hargai dan moga Allah swt sahaja yang dapat membalasnya. WA



:: Jawapan ::

Sedikit pandangan dan nasihat saya (Hafiz Firdaus Abdullah) berkenaan ujian yang ukhti hadapi:

Pertama:

Rumahtangga ukhti masih muda, lebih kurang enam-tujuh bulan. Ukhti nyatakan ia lebih banyak dalam suasana tercabar dan kesedihan.

Persoalan saya, sejauh manakah telah ukhti dan suami usahakan agar rumahtangga kurang tercabar dan lebih harmonis?

Umumnya kebanyakan pasangan berusaha bersungguh-sungguh untuk berkahwin sehari. Semua tenaga, mental dan fizikal, dicurahkan kepada satu hari, iaitu hari majlis pernikahan. Sementara fasa selepas pernikahan jarang-jarang diberi tumpuan.

Sebenarnya yang patut diberi tumpuan ialah fasa selepas perkahwinan.

Perbanyakkan ilmu berkenaan hubungan rumahtangga. Carilah buku-buku berkenaan “relationship” walaupun ia ditulis oleh pihak bukan Islam. Kajilah ia sungguh-sungguh. Juga banyak berkongsi dengan rakan-rakan yang telah lama berumahtangga, agar pengalaman mereka menjadi iktibar bagi kita.

Ketahuilah bahawa kebahagiaan rumahtangga adalah sesuatu yang diusahakan berdasarkan ilmu, ia bukan tunggu dan lihat kemudian merungut memikirkan nasib yang yang sengsara. Ketahuilah juga bahawa usaha ini sentiasa berterusan hingga akhir hayat, bukan untuk setahun-dua pertama perkahwinan.

Kedua:

Seorang suami, sekalipun disangka oleh isteri sebagai pemimpin yang matang dan lelaki yang hebat, tetap adalah manusia yang memiliki kelemahan. Antara kelemahan paling ketara ialah tidak tahu atau enggan meluahkan apa yang ada di dalam perasaannya, apa yang ada dalam emosinya. Ini berbeza dengan isteri yang mudah meluahkan.

Maka jika suami ukhti merungut tentang membeli barang keperluan asasi, ia sebenarnya isyarat kuat bahawa dia memiliki cabaran kewangan.

Banyak faktor yang boleh mempengaruhi, seperti faktor ahli keluarga yang akan bertambah (kos bayi seperti lampin, pakaian dan sebagainya), kerjaya (kena potong gaji dalam suasana ekonomi merudum), keluarga (yuran pendidikan adik-beradik), bayaran hutang (biasiswa, PTPTN), jarank yang jauh (kos pengangkutan, petrol, tiket) dan lain-lain. Semua ini boleh mengganggu ketenangan kewangan suami.

Sisi positif pula, ia mengisyaratkan suami prihatin kepada hal-ehwal rumahtangga dan merasa berat tanggungjawab pada pihaknya untuk menyediakan sumber kewangan yang mencukupi. Suami seperti ini memiliki rasa tanggungjawab dan ia lebih baik berbanding suami yang tak pernah merungut dan tidak menyediakan sumber kewangan. Bererti dia tidak kisah langsung tentang hal-ehwal rumahtangga.

Maka jangan pula ukhti merungut atas rungutan suami. Ia tidak membantu suasana.

Sebaliknya jadi isteri yang menenangkan, memberi keyakinan kepada suami bahawa apa yang ada sudah mencukupi, memberi jaminan bahawa ukhti akan membantu mengukuhkan kewangan keluarga dan menghubungkan suami kepada Allah bahawa semua rezeki berada di tangan-Nya, maka jangan berputus asa dari rezeki-Nya.

Ketiga:

Karakter bagaimana yang ukhti harapkan dari suami? Juga karakter bagaimana yang ukhti tampilkan kepada suami?

Tentu sahaja ada perbezaan selepas pernikahan kerana sebelum pernikahan hanya kelihatan bunga ros sementara selepas perkahwinan nampak duri-duri di bawah bunga ros. Akan tetapi ini tidak bererti bunga ros sudah hilang. Bunga rosa tetap ada sementara duri-duri berperanan menjaga bunga ros.

Sebagai permulaan, karakter suami ialah dia tidak suka isteri menyuruh dia melakukan sekian-sekian perjanjian, kerana memberi isyarat isteri mengekang suami (seolah-olah mengongkong suami).

Justeru jangan gunakan cara perjanjian, sebaliknya gunakan cara berhikmah:

“Sayang amat suka jika abang call bila kelapangan. You are my one and only hero that I would love to talk to. Tetapi kalau abang tak call tak mengapa, sayang tahu abang sibuk bekerja demi kita dan anak anak kita ini”.

Selain itu, suami bukan spesis yang berkomunikasi kerap, berbeza dengan isteri yang suka berkomunikasi.

Tak percaya, cuba perhatikan kebanyakan surau di pejabat, pusat membeli belah atau lapangan terbang. Surau lelaki dan perempuan sering bersebelahan. Surau perempuan kerap ada persembangan sehingga mengganggu kekhusyukan manakala surau lelaki senyap saja sehingga dianggap tiada orang.

Maka ambillah jalan pertengahan, daripada perbualan setiap hari kepada perbualan dua tiga kali seminggu.

Sebelum menalifon, pastikan anda kreatif mencari topik menarik untuk disembang-sembang, umpama “Abang, bayi dalam kandungan ini tiba-tiba bercakaplah, dia kata dia riinndduu sangat kepada ayahnya dan suka nak dengar suara ayahnya yang menalifon”.

Keempat:

Enggan melakukan hubungan intim?

Saya ajak ukhti berbaik sangka bahawa mungkin suami letih bekerja, mungkin suami prihatin kepada kesihatan bayi dalam kandungan, mungkin suami tidak tahu kepentingan memanaskan suasana sebelum melakukan hubungan dan mungkin cuaca sangat panas sehingga suami tak selesa atau terus panas.

Di sini yang penting ialah komunikasi.

Lelaki suka seks tetapi tidak bererti mereka pandai seks. Berkomunikasilah dengan menerangkan apa yang disukai dan apa yang tidak disukai ketika sedang melakukan hubungan intim. Jangan ajar suami cara buat seks tetapi cerita apa yang disukai dan apa yang tidak.

Kelima:

Kulit bersisik? Amat penting bagi isteri menjaga penampilannya di hadapan suami, dari kelembutan kulit hinggalah kelembutan rambut, dari bau badan hinggalah bau nafas. Jika ada sesuatu yang tidak disukai suami, carilah jalan mengubahnya seperti krim kulit dan sebagai.

Jika tidak dapat diubah maka berterus teranglah dengan suami.

Demikian sedikit sebanyak pandangan dan nasihat saya. Saya menujukannya kepada kedua-dua suami dan isteri kerana usaha keharmonian rumahtangga memerlukan usaha dari kedua-dua suami dan isteri.

Jangan hanya merungut suami itu dan ini, sebaliknya renungilah diri sendiri sebagai isteri, apa yang boleh anda lakukan untuk mengubah dari air mata kesedihan kepada air mata keriangan.

:: Moga bermanfaat buat pengantin baru dan lama ::